Tuan Haji Muhamad Amin Fahmi
Pengerusi MIICCI, sesi 2022–2025. Usahawan dan penjelajah pasaran antarabangsa.
Seorang usahawan yang membina diri sendiri dan penjelajah pasaran, dengan matlamat menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia meneroka pasaran luar negara melalui program eksport yang berstruktur.
Beliau memulakan penerokaan pasaran pada 2010 dengan Indonesia sebagai negara pertama, diikuti Singapura pada 2011 dan Qatar pada 2012. Beliau berjaya membina jaringan perniagaan yang kukuh di rantau ASEAN dan Timur Tengah. Antara negara yang telah beliau teroka ialah Singapura, Thailand, Indonesia, Jepun, Qatar, India, Turkiye, Belanda dan Uzbekistan.
Dari DPIM ke MIICCI
Pada 2015, beliau dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) oleh Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, dan diberi mandat membangunkan program pengeksport dengan Turkiye dan Eropah sebagai destinasi. Beliau mengetuai, sebagai Chef de Mission, misi dagang pertama ke Istanbul pada 2016 bersama sepuluh syarikat Malaysia. Salah satu syarikat delegasi kemudiannya memeterai Memorandum Persefahaman dengan syarikat Turkiye dalam industri tenaga boleh baharu pada 2017, disaksikan oleh YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, bekas Menteri MITI.
Beliau sering dijemput sebagai delegasi Malaysia dalam Misi Dagang dan Pelaburan bersama Menteri anjuran MITI, termasuk ke Jepun (Osaka, Kobe, Nagoya) dan Eropah (Belanda dan Jerman) pada 2019, serta Turkiye pada 2017. Daripada misi-misi ini, beliau melihat keperluan satu platform khusus untuk membantu syarikat asing yang berminat melabur di Malaysia mencari rakan kongsi yang tepat. Daripada keperluan dua hala inilah beliau mengasaskan MIICCI.
Jaringan di Turkiye
Hubungan strategik beliau dengan organisasi perdagangan Turkiye terbina sejak 2016 dan kekal utuh hingga kini, termasuk GIMDES, Istanbul Chamber of Commerce (ITO), MUSIAD, HAYSIAD, Sakarya Chamber of Commerce (SATSO), Kocaeli Chamber of Commerce, Gebze Chamber of Commerce (GEBZETO), MATRADE Istanbul, Lapangan Terbang Sabiha Gökçen dan KOSGEB.
Pengiktirafan antarabangsa
- Penceramah antarabangsa, India International Halal Expo 2020, Hyderabad, bersama HDC, UIAM dan MATRADE India.
- Tetamu kehormat antarabangsa, World Halal Council, Jakarta, 2019.
- Ketua Delegasi Misi Dagang MIICCI ke Turkiye, Mac 2023, dengan kerjasama SME Corp Malaysia, merekodkan potensi nilai dagangan RM1 bilion dan beberapa Memorandum Persefahaman antara syarikat Malaysia dan Turkiye.
Beliau komited untuk terus memacu MIICCI dan meneroka pasaran antarabangsa yang belum diteroka sepenuhnya oleh pedagang Malaysia, demi membuka peluang dagang buat usahawan Malaysia dan memartabatkan nama Malaysia di persada dunia, khususnya dalam industri Halal.